Thursday 10 April 2014

Tahun Melawat Sarawak 2014 - Kuching [Part 2 - Day 3 & 4]

Pagi-pagi lagi dah berkemas dan bangun seawal jam 5:30 pagi. Perancangan nak ke Serikin di sempadan Malaysia-Indonesia. Banyak review pasal shopping kat sini murah menyebabkan aku tertarik nak pergi lagipun ia antara must visit place (shopping sebenarnya) kalau berkunjung ke Kuching. Sebelum keluar alas perut dulu. Di Berambih, sarapan pagi disediakan tapi layan diri. Sama macam backpackers hotel yang lain, sila bakar sendiri, sapu jem sendiri dan buat air sendiri.


Aku ambil kereta selama dua hari di Kuching. Jadi sebelum terbang  aku dah deal dengan pengusaha kereta sewa di Kuching tarikh aku nak sewa kereta. Aku dapat Perodua Viva (auto) dengan harga RM80/sehari. Kereta akan dihantar ke hotel. Hanya perlu isi minyak dan jalan. Kalau korang nak cari kereta sewa di Kuching boleh hubungi 0169495024 (A.A.D Transport Service). Aku deal melalui Whatsapp je dan dia akan minta RM50 untuk booking (pendahuluan). Pada masa hari ambil kereta kena bayar penuh dan duit booking akan diberi (transfer) pada korang selepas kereta dipulangkan balik dan tiada kecederaan/calar atau accident. Highly recommended sebab kereta yang diberi memang best dan antara yang murah aku dapat setelah dok mengoogle cari kereta sewa.

Isi tangki minyak penuh dan misi ke Serikin bermula. Awal pagi cuaca fresh. Walau ramai yang mengatakan di Serikin panas membahang tapi pagi ni cuaca agak redup. Nak ke sini boleh set GPS Kg. Serikin sebab kalau cari pasar Serikin memang ajaiblah dia nak muncul, Paling senang guna aplikasi Waze. Dah sampai Kg. Serikin dan Waze pun cakap arrive destination, jalan je terus sampai nampak Balai Polis dan Imigresen Malaysia. Jalan depan sikit lagi akan nampak deretan gerai dan masuk parking. Parking akan di caj RM2 di sini. Perjalanan ke Serikin ni sempat juga terserempak dengan bas yang sangat old skul. 



Bahang panas dah mula terasa. Bagi yang puteri lilin pandai-pandailah bawa diri. Di Serikin memang panas, katanya kawasan ni adalah betul-betul di atas garis Khatulistiwa. Aku ingat murah sangatlah kat sini tapi macam lebih kurang je harga. Ada yang murah, murah juga. Ada juga yang mahal. Kena pandai cari dan tawar. Aku cari barangan yang tak ada di Semenanjung dan barang yang lain sikit adalah kain batik dan pelekat. Banyak juga gerai jual baju, telekung dan beg di sini. Kalau korang rasa nak tengok je tak nak beli memang boleh bawa tong sampah la prinsip tu sebab kalau cakap tak nak beli pun akhirnya beli juga. Duit pun memang tergedik-gedik nak keluar. Dihujung jalan terdapat juga gerai jual pelbagai sayur macam pasar. Memang murah tapi kalau beli bawa balik Kolumpo dah lunyai tapi aku sempat beli asam kelubi yang susah nak jumpa di Kolumpo. Murah sampai tak boleh percaya.



Balik dari Serikin dicadangkan agar singgah di Gua Pari, Gua Angin dan Tasik Biru. Ini semua satu jalan. Sebenarnya aku silap masuk gua. Ingatkan di simpang jalan keluar Serikin tu Gua Pari tapi rupanya gua yang dalamnya ada tokong Budha. Apa entah namanya. Bukan aku je yang tertipu tapi orang lain pun sama. Keluar dari Serikin tu ambil kanan kalau nak ke Gua Pari jangan jadi cam aku konon pandai sangat jalan tak nak guna GPS. Sampai di Gua Angin kawan aku tanya penjaga di situ macam mana nak ke Gua Pari rupanya kena patah balik. Jadi setelah ke Serikin sila ke Gua Pari dulu lepas tu ke Gua Angin dan seterusnya ke Tasik Biru. Inilah gua tokong yang telah menipu, tertipu tu. Rugi masa tau!


Masuk ke Gua Pari dikenakan bayaran RM1 seorang. Kena naik tangga setinggi empat tingkat baru jumpa laluan masuk ke dalam gua. Permulaan agak gelap dan sempit tapi bila dah masuk ke dalam luas sungguh. Macam cerita fairy tales dalam gua ni. Di gua ini juga tempat orang buat aktiviti rock climbing. Ada juga chalet yang terletak di hadapan gua ini.




Yuran masuk ke Gua Angin juga akan dikenakan RM1 seorang. Keadaan dalam gua ni gelap kena pakai lampu suluh kalau berjalan dalam ni. Boleh bawa sendiri atau sewa lampu suluh dengan harga RM3/satu. Ada informasi-informasi yang bleh di baca sepanjang laluan gua ini. Boleh dapat tahu berkenaan stalagtit, stalagmit, kelawar, dan macam-macam lagi, Dapat rasa angin sejuk dalam gua. Mungkin sebab tu di panggil gua angin. Kelawar memang banyak kat sini tapi tak kacau orang sebab siang kelawar tidur. Tak dapat tembak gambar dalam gua sebab keadaan gelap.



Selepas habis di gua, kami ke Tasik Biru. Tak ada apa yang menarik pun di sini cuma kalau nak bersantai memang best. Ada juga medan selera yang terletak di tepi tasik. Kalau nak cari kebiruan tasik memang tak ada yang aku nampak hijau je.



Dari sini kami bergerak ke Kuching semula. Singgah di Medan Niaga Satok. Medan Niaga Satok di buka sampai 10 malam pada hari Sabtu. Macam-macam ada di sini. Kek lapis, terubuk masin, makanan kering sampailah ke hasil hutan.  Disebelah luar bangunan ada juga peniaga-peniaga. Macam pasar malam kat sinilah. Kalau nak beli terubuk masin peniaga di sini boleh hantarkan ke hotel tempat menginap tapi kena beli banyak. Setakat beli dua ekor jangan haraplah diorang nak hantar. Minta nombor telefon peniaga tu atau kad perniagaan. Sehari sebelum balik telefon je cakap nak berapa ekor dan akan dihantar ke hotel.



Di malam hari kami singgah makan di RJ Ayam Bakar. Memang banyak review berkenaan restoran ini. Memang sedap. Portion agak besar (bagi aku la). Pisang keju dia memang terbaik dari ladang.


Trekking mencari waterfall di Taman Negara Kubah (Kubah National Park) antara misi ke Kuching. Geram tengok air terjun dia hasil maklumat dari pak gugel. Seperti biasa guna GPS. Kalau pergi weekdays boleh melawat Pusat Hidupan Liar Matang (Matang Wildlife Centre) tak jauh dari Taman Negara Kubah tapi disebabkan aku pergi hari Ahad tak dapatlah masuk. Rugi. Tiket masuk Kubah RM10/seorang. Kena daftar nama juga. Tujuan aku nak ke waterfall je. Kalau korang nak naik sampai puncak gunung pun boleh.





Trek untuk ke air terjun kira-kira sejam setengah. Dah sampai hujung memang wowwww!!! Best bersiram kat sini. Urut bahu percuma lagi. Rugilah kalau sampai tak mandi. Segar! Perjalanan keluar pun ambil masa lebih kurang sejam. Kat sini ada toilet dekat pintu masuk je. Sementara jalan nak turun pun badan dah kering




Selesai semua gerak ke Semenggoh Wildlife Centre tempat pemuliharaan orang utan. Tiket masuk RM5/seorang. Waktu sesuai pergi adalah pukul 9 pagi dan 3:30 petang. Masa ni waktu makan bagi Orang Utan di kawasan ni. Masa aku pergi ni ada pegawai bagi penerangan yang salah satu daripada Orang Utan yang tengah makan ni dah lama tak keluar. Kira bernasib baiklah dapat jumpa. Memang bapak besarlah. Ritchie namanya. Nama glamer kau. Kiranya antara taiko kat sini. Dengan bulu yang panjang tu berjalan pun dah macam suster ngesot pun ada. Tak ramai banyak pun yang keluar makan masa ni. Musim buah Orang Utan di ajar untuk cari makan sendiri. Walaupun dah ramai pelawat yang masuk ke sini ada juga kalangan Orang Utan yang dikategorikan liar. Di sini juga ada kandang buaya tapi biasalah kalau dah makan tidur je kerjanya buaya pun jadi malas. Ke memang gitu tabiatnya?







Keluar dari situ kami ke Annah Rais Longhouse. Satu jalan dengan Semenggoh tapi lagi jauh ke depan. Ambil masa kira-kira satu jam untuk sampai. Di sini memang betul-betul tradisional rumah panjang. Hampir semuanya berasaskan buluh. Disebabkan Annah Rais dah popular, nak masuk ke dalam ada bayaran dikenakan. RM8/seorang. Kebanyakan yang tinggal di Annah Rais adalah kaum Bidayuh. Terkenal dengan jolokan Pemburu Kepala atau 'Head Hunter'. Dulu kalau dapat tangkap musuh, kepala/tengkorak musuh akan dikumpul dan diletakkan dalam sebuah rumah yang dikhaskan yang di panggil Panggah (Head House). Boleh dilihat lagi sampai sekarang tapi tak banyaklah. Rumah tengkorak ni siap kongsi dengan modem wifi lagi. Kampung tanpa wayar 1Malaysia katakan. Jalan sampai belakang ada jambatan dan anak sungai. Jernih airnya.






Balik dari Semenggoh hajat hati nak ke Fort Mergherita tapi ditutup untuk kerja penyelenggaraan. Hampa dan terus ke Astana selepas itu. Astana tak boleh masuk cuma sekadar ambil gambar kawasan sekitar. Bangunan DUN hanya di sebelah. Lepas tu terus balik hotel dan pulangkan kereta.


Malamnya hanya jalan-jalan sekitar Waterfront sempatlah melawat Tugu Peringatan Brooke di sudut hujung Waterfront. Berdekatan situ juga ada Kompleks Mahkamah Lama. Kalau tak gedik kaki ni nak berjalan mungkin tak jumpa. Sebelum tu aku ada lepak minum di James Brooke Cafe & Bistro, sajalah nak rasa sebab dekat Semenanjung mana nak jumpa kafe nama macam ni. Boleh tahan jugalah harga dia tapi rasa kopi sama je pun. Kafe ni pun depan Waterfront. Kalau jalan mesti jumpa. Di hujung sini juga ada kawasan lapang, waktu malamnya agak meriah. Seronok dapat tengok orang baling-baling bola berlampu. Kalau teringin nak beli dan main sama pun boleh. Hujung minggu di Waterfront memang meriah. Boleh layan penghibur jalanan. Ramai yang petik gitar di sepanjang jalan. Ada yang datang dengan band ada juga petik gitar solo. Lepak santai-santai layan masing-masing tunjukkan skil muzik. Hulurlah sikit bagi support. Sepanjang Waterfront juga ada kafe-kafe. Duduk minum sambil lepak tepi sungai Sarawak pun layan.







Bersambung ke entri seterusnya..

No comments:

Post a Comment