Tuesday 22 April 2014

Gunung Nuang (via Janda Baik), Datuk & Irau

Merujuk kepada tajuk di atas. Aku cuma nak kongsi gambar je dan gambar pun tahap kamera zaman jepun. Lama dah pergi sampai tak ingat nak tulis apa. Ini antara yang aku ingatlah.  

Gunung Nuang (via Janda Baik)

Tujuan asal daki Gunung Nuang sebab nak training untuk ke Kinabalu untuk pertama kali (tahun 2012). Trek melalui Janda Baik agak senang untuk di daki. Sebelum sampai ke trek perlu melalui perkampungan orang asli dan bila dah nampak papan tanda Hutan Simpan Kekal maknanya laluan dah betullah tu.


Boleh pergi secara daypack. Kebanyakan hiking aku memang suka daypack je. Sebabnya aku bukan tegar sangat pun nak mendaki dan nak duduk hutan berhari-hari. Dapat rasa pengalaman baru cukuplah. Sihat pun sihat. Keluar peluh hilangkan tekanan. Sebelum naik sampai ke betul-betul puncak Gunung Nuang ada  view ni. 


Naik sikit je dah sampai puncak Nuang. Dalam 5 minit je dari view yang bawah tu. Tak ada pun cuma ada satu pondok dan satu signage yang menunjukkan korang dah sampai puncak. Seharian juga di dalam hutan. Lewat petang baru sampai bawah.


Gunung Datuk

Dah dua kali naik ke Gunung Datuk. Pertama kali pergi, kami gerak masuk tengah malam. Lebih kurang 12 malam. Kalau Cinderella kena balik rumah tapi aku masuk hutan. Permit masuk diperlukan untuk masuk ke dalam. Bayaran sebanyak RM5/seorang. Bagus juga hiking malam. Tak adalah nampak sangat puncak yang nak di daki. Lebih kurang 3 pagi dah sampai atas. Lepak tidur dulu sampai masuk Subuh. 

Nak tengok matahari terbit tak nampak sebab masa subuh tu hujan renyai. Cuma bergambar atas puncak. Jangan lupa dengan tapak kaki Hang Tuah di atas. Gambar wajib ada kalau dah sampai puncak Datuk. Menurut cerita, Hang Tuah melompat dari satu gunung ke gunung yang lain dan itu adalah kesan tapak kaki legenda tersebut. Berita sahih atau tidak tak dapat nak dipastikan. 


Gunung Irau

Gunung Irau atau Mossy Forest terletak di Cameron Highlands dan berdekatan dengan Gunung Brinchang. Masa aku pergi ada lagi construction di bahagian permulaan pintu masuk ke Gunung Irau. Puas juga mencari dan menyelit-nyelit nak masuk ke dalam. Dalam pembinaan kan. Tutup sini tutup sana. 

Mendaki Gunung Irau ni bukan setakat fizikal kena fit. Mental pun kena fit juga. Gunung Irau berbeza dengan gunung-gunung lain. Gunung lain kalau hujan tanah lembap atau kering tapi di Irau tanah sentiasa lembap dan berselut. Trek pun agak sukar. Siap kena memanjat bagai. 



Cuma yang lain adalah view didalamnya, orang kata macam Lord of The Ring gitu. Macam di alam fantasi tau. Di atas puncak view tak berapa sangatlah. Sebelum sampai puncak korang akan jumpa Mini Irau dulu. Jangan tertipu. Aku sampai puncak pun berkabus je tak nmpak apa pun. Ikut rezeki, ada masa boleh nampak seberang gunung. Di atas puncak ada 'batu bersurat' menandakan sempadan antara Pahang, Perak dan Selangor. Kiranya kalau dah sampai puncak Irau tu kau akan berada di tengah-tengah antara tiga negeri! Rasa hebat sekejap. 





Daa...

Friday 18 April 2014

Muar - Antara Kopi 434 dan Gunung Ledang

Hajat utama ke Muar untuk menawan Gunung Ledang. Perjalanan menaiki bas dan tiba di stesen bas Jalan Maharani, Muar. Lepas dijemput rakan, kami terus daftar masuk Elite Boutique Hotel. Luas hotelnya. Kalau ada yang ke Muar mahu mencari hotel bolehlah ke sini. Terbaik. Harga RM115/semalam sesuai untuk 3 orang (one queen bed & one single bed). Bilik pun besar nak berguling-guling atas lantai sangat boleh. 

Tak ingat nak ambil gambar bilik. Nah kad nama hotel. Silalah.

Lepas daftar masuk masa untuk cari makan. Kami ke Medan Selera Tanjung Emas. Asam pedas pelbagai ikan ada di sini. Setiap pinggan nasi memang akan di beri sepinggan asam pedas ikut selera tekak. Ada ikan merah, pari, telur ikan pun ada. Tengah makan dan bersembang memang tak sedar habis licin pinggan. Masa aku pergi Malaysia juga dilanda musim bunga. Muar tak terkecuali. Ingat negara luar je ke ada musim bunga.



Petangnya ngeteh di Kedai Kopi 434. Orang kata tak sah kalau ke Muar tak pekena kopi ni. Dalam banyak-banyak kopi, ada dua jenis kopi yang mahal iaitu Kopi Musang dan Blue Mountain Coffee. Dah alang-alang sampai apa salah rasa kopi mahal kan. Kopi mahal cangkir pun lain dari yang lain lah. Starbuck pun kalah oiii..


Antara landmark Muar adalah Jambatan Sultan Ismail di Sungai Muar. Di sini juga boleh layan sunset. Tak di jeti, di tepi muara pun boleh yang terletak tak jauh dari Medan Selera Tanjung Emas yang aku sebut tadi. 





Kepada penggemar seafood boleh ke Sabak Awor. Ada banyak deretan kedai yang menawarkan makanan laut. Semuanya sama je cuma mungkin dari segi kesedapan berbeza-beza dari satu kedai dengan kedai yang lain. Lain tukang masak lainlah hasilnya.



Keesokannya seawal 530 pagi dah bangun dan bersiap untuk misi mendaki Gunung Ledang. Kami singgah di kedai bernama D'Mampir yang berada di tepi jalan untuk bersarapan.  Highly recomended. Makan pula pagi-pagi dengan nasi lemak yang panas. Perghhhh. Korang kena siap-siap dengan bekalan makanan sebab tak ada restoran hatta gerai  sekalipun dekat atas gunung walau ada antara checkpoint Gunung Ledang ni dinamakan KFC (ini bukan ayam goreng yang sedap tetapi antara tempat pembunuh kecergasan). Maka sangat fit adalah amat diperlukan.



Pendaki perlu membuat pembayaran untuk permit kebenaran mendaki (RM7/seorang), insurans (RM10/seorang) dan guide (RM220/seorang guide) dan deposit sampah sebanyak RM50.00. Kami pergi bertiga dan bukan dengan grup jadi kos agak tinggi sikit. Pendakian melalui trek Lagenda boleh dilakukan secara daypack yang macam kami buat ni. Dari Muar akan melepasi Tangkak dan menuju ke jajahan Sagil. 



Lepas warm-up dengan guide, kami mula pendakian kira-kira 8.50 pagi. Awal pendakian cuma perlu mendaki tangga yang diberi nama Tangga Mahligai dan akan bertemu dengan checkpoint (CP) 1 dengan nama Bukit Semput. Aku dah boleh agak kenapa nama checkpoint ni dipilih sebab memang semput nak mendaki ialah aku pun dah lama tak mendaki gunung selepas Kinabalu. Trekking sikit-sikit adalah. CP2 adalah Hentian Meranti. Kawasan agak lapang di sini. Berhenti untuk lepaskan lelah dan bergambar sikit (Sikit??)




Checkpoint seterusnya adalah CP3 Batu Orkid. Ada batu besar di sini dan ada bunga orkid tumbuh di atas batu. Waktu ni masa amat mencemburui sebab rasa dah lama mendaki tapi baru CP3??


CP4 merupakan tapak kem. Kat situ tempat mereka-mereka yang nak pacak khemah dan bermalam di Gunung Ledang. Jadi jangan gelabah kalau tak jumpa CP4 atau pun bangga sebab laju sangat sampai tak perasan CP4. Perjalanan pendakian terhenti di CP5 iaitu di Sungai Segitiga. Tak dapat teruskan pendakian kerana masa agak suntuk tambah dengan kepenatan yang di alami. Al maklumlah dah lama tak mendaki. Semput lah sikit. Eh, bukan sikit tapi banyak sikit. Berehat sekejap lepaskan lelah sambil bergosip dan makan. Lebih kurang 2 petang gerak turun.


 


Dah sampai bawah kami singgah kejap di Air Terjun Sungai Air Puteh. Nak mandi sini pun boleh. Airnya mengalir sampai ke tapak chalet di kaki gunung. Seronok juga kalau dapat bermalam di sini. Lain kali mungkin.


Maaflah ye sebab baca entri kegagalan. Asyik baca entri yang berjaya je bila lagi nak baca kisah orang kurang berjaya kan. Di bawah antara gambar yang sempat aku ambil sepanjang pendakian.







Sekian.

Thursday 10 April 2014

Tahun Melawat Sarawak 2014 - Kuching (Part 3 - Day 5 & 6)

Hari kelima ke Kg. Budaya Sarawak. Antara tempat yang mesti kena pergi sebab kesemua budaya Sarawak ada di sini. Aku pergi dengan shuttle van. Nak dapatkan perkhidmatan shuttle van ini boleh ke Hotel Grand Margherita dan ada pakej untuk kesana. Harga tiket masuk termasuk dengan shuttle van RM80/seorang. Van akan ambil depan Tune Hotel. Kami tempah dan bayar sehari sebelum pergi. Van paling awal 9.15 pagi.

Sampai pintu masuk tunjuk je resit yang dah di bayar tu kat kaunter. Diorang akan bagi pasport dan pelekat untuk ditampal pada baju. Passport tu tujuannya hanya untuk dapat cop setiap rumah je. Itupun kena cop sendiri. Heh!



Rumah Cina



Rumah Melayu


Rumah Melanau


Rumah Bidayuh (Nak tengok yang betul-betul di Annah Rais yang aku tulis dalam entri sebelum ini)



Rumah Iban



Rumah Penan


Rumah Orang Ulu


Jangan terlepas peluang jalan di Bamboo Bridge!


Ada persembahan kebudayaan kat sini. Sebelah pagi mula jam 1130 dan petang pukul 330. Jangan terlepas. Merayau kat sini tak cukup sejam dua. Ada je penerangan dari mereka-mereka di setiap rumah. Aku pergi amik van paling awal pun balik pukul 3 petang itupun nasib baik tak terlepas van. 




Balik dari Kg Budaya Sarawak singgah di Muzium Kucing. Minta budak van hantarkan tapi balik kena ambil teksi sebab pakej itu untuk shuttle van Kuching - Kg Budaya - Kuching. Nak balik semula memang lalu jalan yang sama. Maka bolehlah minta simpati hantarkan. Masuk Muzium Kucing tak dikenakan bayaran cuma bayaran dikenakan pada kamera yang di bawa masuk. Aku pakai kamera telefon kena caj RM3. Dah nama pun Muzium Kucing maka memang kebanyakan kucing je yang ada. Mitos kucing dalam alam Melayu, Jepun dan banyak lagi la. Muzium sini taklah besar pun. Kecil je. Muzium Kucing terletak dalam Dewan Bandaraya Kuching Utara. Nampaklah orang yang bekerja di sini. Ia terletak di atas bukit dan boleh nampak bandaraya Kuching dari kejauhan.



Nak balik boleh minta tolong penyambut tetamu kat situ telefon teksi. Ke Waterfront caj RM25 dikenakan. Turun dari teksi ternampak India Street. Merayau kat situ dulu baru kami ke Waterfront untuk cari souvenir. Di Main Bazar berhadapan Waterfront memang melambak kedai jual souvenir. Pilih je mana yang berkenan di hati. Malamnya naik bot tambang lagi ke seberang. Tujuan kali ni satu je, ke kedai Kek Lapis Dayang Salhah. Beli kek lapis! Konon nak beli sikit tapi bila dah sampai semua kek nak capai. Seratus juga melayang. Selesai beli naik bilik simpan kek lepas tu jalan ke Top Spot. Apa lagi makan seafood la. Ada satu restoran seafood muslim di sini. Top Spot adalah di tingkat atas tempat parking kereta. Kalau dari Tune Hotel, jalan kaki naik ke atas lepas tu ambil belah kiri terus sikit nampak perkataan Top Spot. Situlah tempatnya. 



Hari keenam kena balik Semenanjung dah. Kami memang dah siap-siap amik shuttle van ke airport jam 930 pagi. Di Tune Hotel ada perkhidmatan shuttle van ke airport. RM10/seorang dan minimun 2 orang. 



P/s: Sehingga entri ini ditulis, tiada penemuan untuk pesawat MAS MH370 yang hilang. Sama-sama doakan agar penumpang dan anak kapal selamat. Tragedi ini berlaku hanya selepas 3 hari selepas aku balik dari Kuching.