Tuesday 4 February 2014

Kinabalu via Timpohon

Aku pun tak tahu macam mana boleh terjebak dengan aktiviti panjat gunung ni. Tiba-tiba je teringin nak pergi. Mendaki gunung perkara yang tak pernah difikiikan dalam hidup waima dari waktu kecil pun. Macam dah tak ada waktu lain. Terus aku google pasal gunung Kinabalu dan jumpa satu blog ni. Boleh dikatakan hardcore Kinabalu. Boleh kata tiap-tiap tahun naik. Aku tengok dalam tu dia ada buat trip dan aku pun emel dia. Trip yang dia buat tu dah penuh dan dia carikan aku grup lain dan aku diselitkan dalam grup kecil. Dan pada masa ni terjadilah perkenalan aku dengan kakak yang satu ni. Dia pun pertama kali naik dan ada dua orang lagi kawan yang join.

Sebelum daki Kinabalu, ada la sesi latihan pre-Kinabalu. Sila wat latihan kalau tak nak diayam-ayamkan bila sampai sana. Umpamanya kalau office tingkat 8 silalah naik tangga hari-hari untuk kuatkan stamina dan kaki. Korang boleh je training naik Batu Caves nun. Buat tiap-tiap minggu sebelum pergi tu. Nak confident lagi pastikan masa naik anda tidak mengah dan steady itu kira dah lulus la tu.

Aku pergi bulan Feb 2012. Masa tu pakej via Timpohon untuk dua hari satu malam RM650. Aku ni kira bernasib baik sebab selalunya orang yang nak panjat Kinabalu ni akan book 6 bulan sebelum pergi. Aku cari bulan Disember dan dapat slot bulan Februari. Teruja!

Pergi dengan pesawat AirAsia petang Khamis dan sampai di Terminal KKIA dah hampir malam. Sebelum pergi aku dah book siap-siap bilik untuk satu malam kat Sensei Backpackers. RM30/semalam. Penginapan ala backpackers bukan hotel ye. Yang bestnya dalam bilik ada 4 katil double-decker dan aku duduk sorang-sorang! Seram!


Keesokan hari subuh-subuh lagi ada van datang ambil. Ini kira dah termasuk dalam pakej yang aku bayar tu. Perjalanan terus ke Kundasang ambil masa lebih kurang 2 jam. Tak terasa sangat sebab view sangatlah cantik walau jalan tak berapa elok dan aku rasa inilah keistimewaan Sabah yang tak ada kat Kuala Lumpur.



Trip ni hanya trip mendaki Kinabalu jadi tempat-tempat yang menarik sepanjang perjalanan tu tak adalah nak singgah. Sampai je di Kinabalu Park, Kundasang kena daftar nama dan ambil breakfast. Dah disediakan siap-siap oleh pihak Sutera Santuary Resort. Pendaki akan di beri tag nama. Ini merupakan permit untuk mendaki kalau tak korang takkan dibenarkan masuk. Langkah sekaki pun tak boleh.

Mountain guide kami lambat sampai dan sempat la curi-curi dengar penerangan guide dari grup lain. Guide sampai dan van pun transfer kami ke Timpohon Gate. Kat sini kena tandatangan yang bermakna korang akan masuk untuk mendaki. Di sini sini juga ada disediakan khidmat sewa walking stick (RM10). Terpulanglah nak bawa sendiri atau sewa. Walking stick penting untuk membantu korang naik. Pukul 10 lebih kurang kami berenam memulakan pendakian. Dari kaki gunung ke Laban Rata, trail adalah sepanjang 6km. Bergantung juga pada tahap kecergasan dan kelajuan untuk sampai ke atas. Kalau berlari mungkin satu jam pun boleh sampai.



Sepanjang 6km ni nikmatilah puas-puas pemandangan yang disajikan. Seperti yang tertera pada permit kad untuk setiap pendaki 'Take anything but photographs, leave nothing except footprint'. Ya, ambillah foto puas-puas. Tapi bagi pendaki amatur macam aku ni mungkin kilometer pertama dan kedua je teruja nak ambil gambar dan bergambar lepas tu dah penat rasa tak ambil foto cantik apun tak apalah. Sematkan saja pemandangan yang cantik tu dalam memori otak.




Sepanjang perjalanan ada pondok-pondok yang telah di sediakan untuk kemudahan para pendaki. Tandas pun ada. Jadi tak perlu risau nak buang kumbahan kat mana. Boleh dikatakan gunung Kinabalu ni antara gunung yang eksklusif dan termahal sebab aku rasa setakat ni Kinabalu je gunung yang ada tandas sepanjang pendakian ke atas. Ada 7 pondok sebelum sampai ke Laban Rata dan disetiap kilometer. Ikut la korang nak berhenti boleh tak nak berhenti pun boleh. Tapi jangan berhenti lama-lama. Takut kaki jadi manja.





Aku ada dengar pendaki yang didukung untuk turun ke bawah. Otak dah letih dan badan jadi kurang bertenaga dan kaki pun rasa shut down. Nak angkut turun pun kos juga ye. Tak silap aku RM100/km. Bayangkan kalau dari KM5 sangkut. Sendiri mau ingat la. Sebab tu training penting sebagai persediaan sebelum ke sini.  

Aku sampai Laban Rata lebih kurang 4 petang.  Untuk pendaki yang first timer macam aku ni timing sampai kira ngam-ngam la. Untuk para pendaki dalam pakej dah disediakan makan bila sampai kat sini. Masuk je dalam Laban Rata Resthouse ni dah ada bufet menanti. Makanan dia memang membuka selera. Ada lamb chop okay.  Makan-makan dan kitorang tunggu sampai sunset keluar. Cantik gila! Matahari nak melabuh tirai pada masa tu aku di ketinggian 3,272 meter dari paras laut. Superb! 'Keep nothing but memories'







Lepas layan matahari terbenam naik ke bilik dan berehat. Esok pukul 2 pagi nak naik ke puncak pula. Bangun pagi tu memang sejuk gila. Pakai pakaian yang sesuai sebab pendakian ke atas memang sejuk. Disarankan pakai baju tebal atau winter coat. Antara peralatan yang penting adalah headlamp untuk memudahkan penglihatan. Masa ni memang gelap tak nampak apa pun. Dari sini nak ke puncak sejauh 2km lagi.

Sebelum sampai ke puncak kena daftar nama atau bahasa mudahnya check in kat Sayat-Sayat. Jangan lupa pakai tag nama sebab kalau tak ada tak dibenarkan mendaki hingga ke puncak.


Pendakian diteruskan dan akhirnya aku sampai ke puncak lebih kurang pukul 630 pagi. Matahari mula naik. Snap apa yang patut. Jangan lupa bergambar di peak dan duit seringgit (trademark Gunung Kinabalu). Boleh berlagak sedikit dengan kawan-kawan. Heh!




Kena check out dari bilik sebelum pukul 10 pagi. Kalau tak dia caj lewat RM100.  Dah siap kemas beg aku turun ada sarapan. Bufet juga. Layan diri. Makan alas perut lepas tu bergerak turun. Kena laju sikit kalau tak lutut menggigil lagi susah nak bergerak. Aku dah kena bila hampir nak sampai ke bawah dalam 2km lg. Dia punya gigil rasa macam nak cabut lutut campak ke bawah. Sampai baru ambil. Boleh? Korang kena tahan kaki dalam masa yang sama lutut longgar. Macam tu la lebih kurang rasanya. Nak turun lagi payah dari naik. Sebab lutut dan kaki kena menahan dan bertahan. Sampai bawah dah ada van menunggu di gate Timpohon dan kami di bawa ke restoran untuk makan. Makan tengahari ni sebenarnya tapi dah merangkap makan petang sebab sampai situ lebih kurang pukul 4. Lepas makan van hantar balik KK. Ke hotel masing-masing. aku dah book hotel dan kali ni kat Lavender Lodge pula. Harga bilik RM68/semalam untuk katil double. Malamnya aku tak ke mana-mana pun  sebab penat. Tak larat nak jalan dah.






Esoknya sebelum balik aku singgah Pasar Philiphine. Nak ke pasar ni boleh jalan kaki je. Tapi kalau sayang kaki ambil je la teksi. Tak jauh pun. Jika ke Kota Kinabalu pasar ni adalah tempat wajib pergi. Macam-macam ada kat sini. Cenderahati macam baju, rantai kunci, fridge magnet macam biasalah kan banyak jual kat sini. Sabah kan terkenal dengan mutiara. Bermacam jenis mutiara ada kat sini. Duit ada semua boleh dapat. Benda wajib aku beli kalau berjalan tempat orang selalunya rantai kunci dengan fridge magnet je. Maka aku rembat yang ini je. Pusing punya pusing dapatlah yang berkenan di hati. Seterusnya patah balik ke bilik dan berkemas pulang. Tambang teksi ke Terminal 2 KKIA ni sama juga RM30. Sampai LCCT aku terus ambil bas dengan harga RM8 terus ke KL Sentral dan seterusnya ambil komuter ke rumah. Sekian.

Ini link untuk sesiapa yang mahu mencari/mendaki/menikmati/menghayati si tinggi-tinggi Gunung Kinabalu http://hamydy.wordpress.com/


1 comment:

  1. terima kasih atas entry yang details :) insya allah akan ke sana minggu depan :)

    ReplyDelete